Thursday, 20 December 2012

PENJELASAN MENGENAI TARIKH 21 DISEMBER 2012

Akhir-akhir ini masyarakat dunia heboh memperkatakan tentang tarikh berlakunya hari kiamat. Di ruang internet, malahan televisyen, sibuk memperkatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari ini iaitu Jumaat bertarikh 21.12.2012. Maka khutbah pada hari ini akan mengulas berkaitan dengan hal ini.

Tarikh 21.12.2012 disebut-sebut, akan menjadi tarikh yang menakutkan kerana pada tarikh inilah, kiamat akan berlaku. Tarikh ini pada asalnya disandarkan pada satu kalendar masyarakat Mayan yang hidup satu ketika dulu di selatan Mexico. Mereka dikatakan menguasai ilmu falak sehingga telah meninggalkan banyak hasil peradaban mereka terutamanya sistem kalendar yang digunakan. Menurut mereka yang mendakwa telah mengkaji kalendar Mayan ini, kalendar ini ia akan tamat pada tahun 2012. Tarikh 21.12.2012 pula ditetapkan sebagai permulaan berlakunya satu perubahan besar pada alam ini dan ia ditafsirkan sebagai kemusnahan alam ini atau berlakunya kiamat.

Cerita ini kemudian ditokok tambah dengan kononnya NASA iaitu sebuah agensi angkasa di Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa kemunculan sebuah planet bernama NiBiru yang akan menghentam bumi pada hari ini. Dengan saiznya 20 kali ganda dari planet Musytari ia sebuah planet yang sangat besar. Pada mulanya planet ini dijangkakan akan menghentam bumi pada Mei 2003, tetapi setelah tiada apa pun yang berlaku, tarikh itu dijangkakan pula akan berlaku pada hari ini 21 Disember 2012.

Begitu juga dengan sebuah lagi berita yang dikaitkan juga dengan NASA, bahawa bumi ini akan bergelap selama 3 hari, bermula 23, 24 dan 25 Disember 2012. Ini disebabkan berlakunya “Penjajaran Alam Semesta“, di mana matahari dan bumi akan berada pada satu garis lurus untuk pertama kalinya. Bumi akan berubah kedudukannya berbanding sekarang. Seluruh alam akan menghadapi perubahan besar, dan kita akan melihat dunia yang baru. Dunia gelap tanpa sinar, tanpa cahaya matahari.

Sebagai seorang mukmin, kita telah diajarkan untuk menapis dan mempertimbangkan segala maklumat yang diperolehi agar kesahihannya dapat disabitkan.

Dakwaan pertama yang mengaitkan tarikh kiamat dengan kalendar Mayan sebenarnya timbul dari penafsiran semata-mata. Ini kerana di dalam kalender tersebut tidak menyebutkan pun bahawa dunia ini akan kiamat pada tahun 2012. Catatan di kalendar hanya menyatakan tahun 2012 diletakkan sebagai tahun terakhir dalam pusingan kalender tersebut. Ini bermakna bagi tahun 2013 ia perlu dimulakan semula pada permulaan kalender seperti mana kalendar-kalendar lain.

Dakwaan kedua yang menyatakan bahawa planet Nibiru akan melanggar bumi juga merupakan satu dakwaan yang tidak mempunyai sebarang asas. Jika fakta ini telah disandarkan kepada NASA, pihak NASA telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tersebut. Tambahan pula dengan saiz Nibiru yang sangat besar iaitu 20 kali ganda saiz Musytari, tidak munasabah sekiranya semua balai balai cerap dan ratusan ribu ahli falak di seluruh dunia tidak dapat mengesan planet ini dengan teleskop mereka. Apatah lagi dengan langit yang terbuka luas untuk sesiapa saja meneropong dan mengkajinya.

Dakwaan ketiga ialah berkaitan dengan bumi akan bergelap selama 3 hari, dan berita ini juga disandarkan kepada NASA. Pihak NASA sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan bahawa NASA atau mana-mana organisasi astronomi tidak pernah mengeluarkan kenyataan ini. Penjajaran planet-planet yang dikatakan akan berlaku juga hanya merupakan khabar angin. Berdasarkan kajian ahli-ahli falak, penjajaran ini tidak berlaku. Apa yang akan berlaku pada 21 Disember ialah matahari akan berada di sebelah selatan pada garis lintang 21 darjah yang menandakan peralihan musim luruh ke musim sejuk, dan ia adalah satu fenomena biasa yang berlaku pada setiap tahun.

Berdasarkan beberapa hujah di atas maka dapat kita simpulkan bahawa, berita peristiwa kiamat yang didakwa akan berlaku pada hari ini, Jumaat 21.12.2012 adalah tidak berasas.

Menjadi salah satu dari rukun iman, untuk setiap dari orang Islam mempercayai akan berlakunya hari kiamat. Menolak berlakunya hari kiamat akan menyebabkan gelincir iman seseorang tersebut. Namun bilakah akan berlakunya hari kiamat.

 Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf : 187 :
Bermaksud :
“ Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun Yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan dia. (huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk Yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah Engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui".

Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat di atas menyatakan bahawa Allah SWT mengarahkan Nabi SAW menjawap persoalan bilakah berlakunya kiamat itu dengan menyatakan pengetahuan bilakah kiamat itu hanyalah semata-mata berada di dalam pengetahuan Allah SWT.

Begitu juga berdasarkan hadis dari Umar Ibn Khattab r.a, menyatakan ketika Jibril menemui Baginda SAW dan bertanyakan tentang hari kiamat, dengan katanya :

Bermaksud : “Khabarkan kepadaku tentang harikiamat? Baginda SAW menjawab : “ Tidaklah yang ditanya itu lebih mengetahui dari yang bertanya.” ( Riwayat Muslim: Hadis no 12)

Dr. Said Ramadhan al-Buti menyatakan bahawa :
Berhatilah-hatilah jika anda mendengar sesiapa yang menetapkan tarikh dan masa datangnya kiamat. Ketahuilah bahawa dia sesungguhnya telah dikongkong oleh kejahilan yang teramat sangat dalam agama.”

Antara pengajaran yang dapat diambil dari artikel ini:

  • Selepas ini, pasti akan ada lagi ramalan-ramalan berkaitan tarikh kiamat yang akan tersebar. Namun mempercayainya dan menyebarkannya tanpa kita cermati dan tapisi, akan memberikan kita saham dalam menyebarkan khabar angin. Kiamat yang menjadi rukun Iman kita berdasarkan nas-nas yang jelas, akan bercampur aduk dengan berita-berita yang tidak berasas seperti ini.
  • Berdasarkan sumber al-Quran, Sunnah dan kesepakatan para ulama, kiamat akan berlaku setelah berlakunya beberapa alamat kecil dan besar. Khatib ingin menyeru semua jamaah di sini, marilah kita mempelajari, membaca dan menghayati alamat-alamat yang telah diberitahu dengan jelas dengan sumber yang paling boleh dipercayai dari Allah dan RasulNya dengan penjelasan oleh para ulama. Berpegang teguhlah kepadanya berbanding cerita-cerita mitos dan tahyul yang disebarkan.
  • Ketika mana kita sibuk berdebat mengenai tarikh kiamat, adakah kita pernah bertanyakan diri kita, apa yang telah aku sediakan untuk menghadapi hari kiamat? Di samping kiamat besar yang pasti akan berlaku, janganlah lupa bahawa kiamat kecil, iaitu kematian juga sedang rapat mengekori kita

Sumber dari :
Ustaz Mohd Faizal Jani,
Pegawai Falak, Jabatan Mufti Perak
http://zarqali.blogspot.com/2012/12/khutbah-adakah-kiamat-akan-berlaku-pada.html#more

2 comments:

  1. setuju!!! kita tak payah percaya semua tu. tak payah nak ramal2 bagai.

    ReplyDelete
  2. percaya tak kalo saya kata ada orang (muslim) tanya saya "u rasa esok kiamat ke?"... sape la kita untuk nak tau bila kiamat ni... akal letak kat lutut sungguh....

    ReplyDelete